Sabarlah…

Saya berkira-kira panjang untuk menulis post ini. Sudah lama tidak menulis perkara serius, bak kata seorang kawan, “I sniff politics in your blog”.

Haha. Jadi menulis perkara tarbiah ini buat saya takut-takut. Ya, saya juga ada teman yang takut-takut.

Saya betul-betul berkira-kira dalam menulis post ini. Maksudnya, saya merangka-rangka post ini supaya tujuannya sampai, tembakannya mengena, dan pada waktu yang sama, biarlah seperti menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak.

Saya ingin menulis mengenai orang yang tidak ada adab dalam menulis dan menjelas mengenai taksub. Itu sahaja.

Ya, adab merupakan perkara paling indah dalam Islam yang sudah dibakul sampahkan oleh pejuang kebenaran. Bagi mereka, hak itu hak, batil itu batil. Konon-kononnya tegas mencari kebenaran, adab dan sopan dibuang ke dalam longkang.

Sebelum bercerita lebih panjang mengenai adab, saya tulis sedikit mengenai taksub.

Taksub
Taksub ini merupakan perkataan Arab, bukan Jawa, bukan Banjar (walaupun bahasa banjar itu indah- Zul) dan perlu difahamkan oleh orang yang belajar Bahasa Arab. Ta’assoba, yata’assabu. ta’asuban. Ta’asuban ini maksudnya tutup muka, tutup telinga mata. Maka penglihatan tertutup, pendengaran kurang jelas. Tak dapat dengar, tak dapat lihat. Itu taksub.

Kalau taksub kepada pemimpin, kepada satu gerakan, maksudnya, apa pemimpin buat itu benar, walaupun pemimpinnya itu jenis makan rasuah, jenis berak merata. Maksudnya, kalau pemimpin suruh A, depa buat A, pemimpin suruh B, depa buat B. Isu A itu haram B itu halal letak tepi. Itu kalau taksub. Sama juga kalau gerakan, taksubkan sesuatu gerakan bermaksud, walaupun gerakan itu buat perkara salah dan dangkal, semua tulikan mata, pekakkan telinga dan ahli-ahlinya jadi tukang cop lulus saja.

Itu taksub.

Tapi, adakah saya dan kawan-kawan taksub?

Kami tidak taksub, kerana apa yang kami dibentangkan secara panjang dan berdalil mengenai apa yang kami perlu faham.Kami tidak dipekakkan telinga, tidak dibutakan mata. Malah kami jelas dan nyata tentang semua perkara yang kami perjuang dan percaya, dengan Al-Quran dan As-sunnah. Malah, setiap kali isu terbaru, apa yang dijelaskan itu dilengkapi dengan hujah naqli yang panjang lebar.

Kalau apa yang kami rasa salah, kami tegur dan kritik, tapi di landasan dan platform yang betul. Bukankah bodoh mengkritik dan membuka pekung di dada. Samalah seperti seorang isteri menceritakan keburukan suaminya sendiri kepada ramai, itu kan ditegah agama? Cerita dalam rumah biarkan di dalam rumah.

Adab menegur
Dari situ timbullah adab. Tiada adab maka tiada lah bezanya Islam ini dengan agama lain. Bukankah Rasul kita diutus untuk menyempurnakan akhlak?

Rasulullah saw. pernah bersabda :

( Riwayat Imam malik fi Muwatta’ )

Maksudnya : Sesungguhnya aku diutuskan ( oleh Allah ) bagi menyempurnakan kemuliaan tataLaku .

Diriwayatkan dari At Tarmizi , dari Abi Darda’ rha. bahawa nabi saw. bersabda :

Maksudnya : Tiadalah sesuatu yang paling memberati timbangan seorang mukmin pada hari qiamat kelak selain daripada kemuliaan tataLaku dan sesungguhnya Allah swt. teramat murka tataLaku yang keji ( menyeleweng ) lagi hina .

Kesimpulannya, adab ini perkara besar dalam Islam. Mencari ma’na kebenaran , carilah, jangan langgar barang adab ini. Ini barang tinggalan nabi kita.

Menegur dan menulis dengan adab
Adab menulis maksudnya, jangan lah ceritakan perkara dalam kelambu, dalam selimut. Perkara yang tak perlu didedah jangan dedahkan. Jagalah maruah orang lain, jagalah rahsia kawan-kawan. Seperti apa yang saya cerita di atas, isteri jangan cerita hal suami kat khalyak ramai, itu ditegah!

Janganlah membuka aib dan dedahkan rahsia!

Di zaman Khalifah Ar-Rashidin, bukan sahaja umat Islam mengkritik dan menegur ulamak, malah teguran dan kritikan turut juga melibatkan khalifah dan pemerintah. Saidina Umar Al-Khattab yang terkenal sebagai seorang yang tegas pernah ditegur bukan sahaja oleh para sahabat seperti Salman al-farisi, malah pernah ditegur secara terbuka oleh seorang muslimat. Namun yang menegur menjaga adab, dan yang ditegur pula terlalu rendah egonya.

Sahabat-sahabat juga amat berhati-hati dalam mengeluarkan pendapat kepada Rasul. Awal-awalnya dipastikan bahawa pendapat Rasul itu bukannya wahyu, barulah diberanikan diri memberi pandangan berbeza, mohon derhaka. Adab perkara yang utama di kalangan sahabat-sahabat! Takut-takut sahaja teguran dan perbezaan pendapat itu tandanya tidak hormat.

Dalam konsep syura juga begitu. Berbeza pendapat itu rahmat, tapi yang memberi pendapat, jika diterima pendapatnya, maka hendaklah dia beristigfar, semoga pendapatnya tidak dipandu nafsu dan ego. Jika ditolak, maka seharusnya dia bersyukur!

Tegur juga perlulah sahih. Janganlah banyak agak-agak dan membuat kesimpulan serkap jarang. Hanya kerana dulu kamu lihat orang bergaduh, bukan bermakna sekarang masih bergaduh. Atau hanya kerana kamu tidak lihat orang baca buku terbitan antarabangsa, tidak bermakna orang hanya baca buku terbitan Pustaka Fajar sahaja. Lagi satu, apa salahnya baca buku DPF?

Kadang-kala, kerana terlalu banyak membuat kesimpulan mudah, akhirnya fitnah itu muncul.

Tegurlah
Nak menegur tidak salah, malah diperintah agama!

Dari surah Al-Asr,

“Dan mereka pula berpesan-pesan pada kebenaran dan berpesan-pesan dengan sabar”

Hadis riwayat Muslim,

“Agama itu nasihat”

Dua dalil ini menunjukkan nasihat itu tuntutan agama. Tapi nasihatlah dengan tawaduk dan rendah diri. Buangkan ego dan buruk sangka.

Tetapkan hati dalam berbuat baik
Janganlah nanti, dirasakan diri sahaja benar dan yang lain itu tidak benar. Akhirnya yang sebenarnya kita bukan sahaja tidak layak selaku pejuang Islam, malah boleh dipanggil penganggu dalam perjuangan!

Rujuk sahaja surah At-Taubah ayat ke 107. Ini cerita orang dirikan masjid Ad-dirar. Yang mereka rasa ingin menyumbang kepada Islam, tujuan molek, tapi sebenarnya tidak layak dipanggil masjid pun. Malah, Rasul memerintahkan untuk dibakar saja masjid itu!

“Mereka akan bersumpah dengan berkata; Tidaklah yang kami kehendaki (dengan mendirikan masjid ini) melainkan untuk kebaikan semata-mata.”

Bimbang-bimbang juga, apa yang dirasakan selama ini sebagai menyumbang, tidak diiktiraf, malah dicela agama.

Sabarlah…
Akhir sekali saya ingin katakan pada sahabat-sahabat saya yang saya sayang sungguh, sabarlah…

Sabarlah kerana memang inilah janji Allah. Inilah sunnatullah terhadap sang pejuang. Biarlah kita ini pejuang bak debu, kadang kala hadirnya kita hanya menyusahkan yang lain, dek kerana debu itu melekat-lekat di pakaian dan kenderaan sang pejuang besar, tapi sekurang-kurangnya kita mendapat berkatnya sang pejuang itu.

Sabarlah…

Nabi pernah digelar gila, dilempar najis dan batu. Kita hanyalah sedih dikata macam-macam.Jangan dilayan kemuncup di tengah jalan.

Ingat pesan Tuan Guru. Perjuangan kita ini tidak akan tercabut kerana tunjangnya Islam.

Tetapkan hati, carilah ilmu. Tambahkan keteguhan.

Semoga post ini dapat mengurangkan bau politik dalam blog saya.

dan juga mengurangkan rasa takut-takut saya menulis perkara sebegini.

Explore posts in the same categories: current issue, general, pendapat

3 Comments on “Sabarlah…”

  1. Rantong Says:

    Salam ziarah. Sekadar membuat hebahan. Mungkin ini dapat membantu orang-orang kita diwaktu gawat sekarang.

    Rancangan “Who Wants To Be A MillionaireBlogger.Net” kini, ke udara di screen komputer anda. Sertai & daftar sekarang. Kemasukan adalah PERCUMA…

  2. HUMAIZI Says:

    Assalamualaikum.
    Benar apa yang hadi tulis.

    Adab merupakan cerminan ketinggian nilai bagi seseorag muslim. Maka bertindaklah mengikut adab-adab islam kepada semua manusia tanpa double standard.

    Saya terkadang melihat, dalam bab adab memberi teguran ini, kita selalu double standard. Bila mahu menegur orang yang baik dengan kita, kita akan tegur elok-elok. Tapi kalau nak tegur orang yg musuh dengan kita, kita selalunya melanggar adab-adab dalam memberi teguran.

    Sikap double standard sebegini adalah dilarang dlm agama. Kerana ianya terang-terang menunjukkan sikap tidak adil.

    Sama juga halnya dengan sikap sesetengah orang yang mengaku sebagai pejuang agama menentang kezaliman pemerintah. Saya melihat, ramai dikalangan mereka begitu ringan mulut memaki hamun pemerintah, menyebarkan cerita-cerita buruk pemimpin yang belum sahih di pengetahuan mereka, semua ini semata-mata ingin menanamkan kebencian masyarakat kepada pemimpin.

    Tetapi bila sampai kepada pemimpin di kalangan mereka, mereka ikut aturan islam. Ini juga double standard.

    Mari sama-sama kita hayati firman Allah yang bermaksud

    “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan” – al-Hujurat: 6

    “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

    Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.” (Al-Hujurat 11-12).

    dan lagi firman Allah bermaksud,

    “Iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu, dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya; dan kamu pula menyangkanya perkara kecil, pada hal ia pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.” – An-Nur : 15.

    Maka kepada para pendakwah, jika ingin berkata. Katalah perkara yang sahih sahaja. Jika tidak yakin kesahihannya, maka diam diri itu lebih baik. Semoga kita terhindar dari fitnah lidah.

    Semoga bermanfaat.

  3. ibnalias Says:

    maka mengumpat itu dibolehkan dalam beberapa perkara.

    tidak mahu menghurai panjang di sini, namun jika hanya dengan mengumpat itu barulah sampai niat-niat yang dibolehkan itu, maka dibolehkan mengumpat.

    dan umpatan terhadap pemerintah di atas perkara yang benar dan sahih itu dibenarkan.

    terima kasih
    [ada umur, saya tulis mengenai hal ini. terima kasih atas ulasan]


Comment: